PUTRAJAYA – Pejabat Peguam Negara masih belum memuktamadkan senarai nama bagi menggantikan Syazlin Mansor dalam inkues ke atas kematian angoota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya masih menunggu tiga nama peguam yang dicadangkan Jabatan Peguam Negara.
“Cara yang betul adalah KPKT perlu melantik seorang peguam daripada pihak Jabatan Peguam Negara, peringkat Timbalan Pendakwa Raya di mana peguam berpengalaman.
“Saya minta mereka cadang tiga nama dan biar saya buat pilihan untuk melantik,” katanya kepada media selepas menemui beberapa Orang Kelainan Upaya (OKU) di pejabatnya hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, segala apa yang telah dilakukan oleh Syazlin akan diteruskan.
Malah segala maklumat dan keterangan yang telah diberikan tidak akan diketepikan.
“Kita telah minta dan pastikan apa yang telah dibawa oleh Syazlin tidak boleh diketepikan, harus diambil seratus peratus dan Dr Shahrom juga saksi itu juga harus diambil seratus peratus dari segi maklumat dan keterangan.
“Peguam yang baru lantik ini akan ikut apa yang telah dilakukan,” katanya lagi.
Minggu lalu, inkues terhadap kematian Adib dikejutkan apabila Syazlin mengumumkan menarik diri daripada inkues berkenaan kerana terdapat ‘perkembangan baru’.
Peguam Negara, Tommy Thomas sebelum ini menjelaskan bahawa Syazlin dinasihat menarik diri kerana berada dalam konflik kepentingan apabila bertindak mewakili jabatan bomba dan KPKT, sedangkan pada masa yang sama mewakili keluarga Adib. -MalaysiaGazette