KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 60-an, A. Rahman Hassan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah jantung awal pagi semalam.
Namun begitu A. Rahman tidak mengalami serangan jantung kritikal sebaliknya doktor memaklumkan dia kurang rehat dan mengalami tekanan.
“Petang semalam saya ke HKL untuk membuat pemeriksaan kesihatan, namun selepas membuat beberapa ujian saya ditahan wad sekitar jam 3.30 pagi.
“Doktor memberitahu keadaan jantung saya lemah akibat kurang rehat serta mengalami tekanan. Disebabkan itu, saya jadi cepat penat,” katanya yang juga ahli band Orkes Nirwana.
Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Untuk Ku itu meluahkan rasa syukur atas kesihatannya yang beransur pulih dan berharap dapat pulang ke rumah sebelum Lebaran.
“Saya tidak boleh banyak bergerak kerana mudah letih. Jadi saya perlukan rehat yang secukupnya.
“Saya berharap dapat pulang ke rumah sebelum raya. Doakan keadaan kesihatan saya kembali baik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), DJ Dave yang melawat A Rahman memaklumkan keadaan kesihatan penyanyi itu semakin pulih.
“Kita doakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. – MalaysiaGazette