Home Dunia Pesawat tentera udara India dengan 13 penumpang hilang

Pesawat tentera udara India dengan 13 penumpang hilang

NEW DELHI – Sebuah pesawat tentera udara India yang membawa 13 penumpang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan timur laut negara itu yang bersempadan dengan China, hari ini.

Pesawat AN-32 terputus hubungan pada jam 1 tengah hari, selepas 30 minit berlepas dari bandar Jorhat, Assam dan dalam perjalanan ke Menchuka di Aruna Pradesh.

Media tempatan memetik Menteri Pertahanan, Rajnath Singh sebagai berkata pesawat itu hilang sejak beberapa jam.

“Saya berdoa untuk keselamatan semua penumpang,” katanya.Tentera Udara India banyak menggunakan pesawat buatan Rusia itu untuk tujuan pengangkutan.

Media melaporkan seramai lapan anak kapal dan lima penumpang berada dalam pesawat tersebut.

Pada 2016, pesawat AN-32 dengan 29 penumpang hilang di Teluk Bengal ketika dalam penerbangan dari Chennai, selatan India, ke Kepulauan Andaman dan Nicobar.- BERNAMA