KUALA LUMPUR – Desakan demi desakan golongan tertentu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang mahu Perdana Menteri menetapkan tarikh bagi penyerahan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai ‘anjing-anjing’ yang sedang menyalak.
Menurut Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md. Arip jelas tindakan itu boleh disifatkan sebagai salakan anjing dan menasihatkan agar ‘tuannya’ menasihatkan golongan itu untuk memberhentikan ‘salakan’ tersebut.
“Saya melihat ini merupakan salah satu plot untuk menekan Dr Mahathir. Kita tahu plot ini tidak akan berhenti disini, lepas Aidilfitri dia akan ulang benda sama untuk memberikan tekanan kemuncak kepada Dr Mahathir.
“Anjing-anjing ini dia tidak boleh dijinakkan hanya tuan dia sahaja yang boleh. Saya harap tuan dia kena bersuaralah mendiamkan dia,” katanya dalam satu video oleh jinggofotopages.blogspot.my.
Menyifatkan ini bukan perbuatan pertama kali, Muhammad Zahid berkata kenyataan mendesak Dr Mahathir itu harus dihentikan kerana memberikan impak kepada kerajaan.
“Siapa yang lalu depan rumah, dia akan menyalak. Dia kalah di bahagian, ini bukan seorang dan saya dengar ada seekor lagi anjing di Kapar pun macam tu jugak,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang secara terang-terangan meminta Dr Mahathir menyatakan dengan jelas bila beliau akan membiarkan Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Abdullah turut berkata tidak cukup untuk Dr Mahathir berulang kali mengatakan bahawa dia akan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR tanpa “jelas mengenai tempoh masa”.
Selain Abdulah Sani, turut membuat kenyataan sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan Aramugam, pada 4 Mac 2019 yang turut mendesak supaya Anwar segera dilantik sebagai Perdana Menteri.
Desakan itu turut disuarakan Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar, pada 14 April 2019 supaya Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei 2019. -MalaysiaGazette