KUALA LUMPUR – Polis Johor bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-kanak 2001 terhadap ibu bapa remaja yang ditahan berulang kali kerana menunggang basikal diubah suai secara berbahaya.
Perkara itu diutarakan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berikutan kejadian pada Sabtu lalu, lapor sebuah laman portal.
Pada hari tersebut, sekumpulan remaja terbabit menggunakan basikal yang diubah suai dan mengulangi kegiatan sama secara berkumpulan di lokasi kejadian yang mengorbankan lapan nyawa pada 18 Februari lalu.
Najmuddin menegaskan, beliau telah meminta Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan menyiapkan laporan sebelum mengusulkannya kepada Pejabat Menteri Besar bagi menangani aktiviti itu.
“Polis tidak mahu menggunakan pendekatan drastik menghukum ibu bapa tetapi sekiranya mendesak dan perkara ini berulang membabitkan kumpulan sama, polis akan menuduh (di mahkamah) ibu bapa remaja berkenaan.
“Kita akan dakwa mereka (ibu bapa) mengikut Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan anak tanpa pengawasan,” katanya.
Kelmarin, 22 remaja termasuk dua perempuan berusia 14 hingga 17 tahun ditahan kerana terbabit dengan kegiatan menggunakan basikal ubah suai.
Mereka juga didapati bersalah kerana menunggang dalam keadaan berbahaya. – MalaysiaGazette
8 remaja berbasikal maut dirempuh kereta
Comments are closed.