Home Nasional Aidilfitri bawa khabar gembira mualaf

Aidilfitri bawa khabar gembira mualaf

Temubual eksklusif bersama penghuni, Siti Aisyah Abdullah di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Aidilfitri tahun ini membawa khabar gembira buat Siti Aisyah Abdulkah, mualaf yang telah memeluk agama Islam selama 15 tahun.

Berbelas tahun ibarat hidup dibuang keluarga kerana tidak dapat menerima hakikat Siti dan suami membuat keputusan untuk memeluk Islam, akhirnya keluarganya kini semakin menunjukkan perkembangan positif.

Tentangan hebat daripada keluarganya sebelum ini menurut beliau, sedikit berbeza dengan keluarga suaminya yang menerima tindakan pasangan tersebut untuk mengubah agama.

“Selama 15 tahun keluarga tidak boleh terima, sekarang keluarga tunjukkan perkembangan positif, tahun lepas nampak macam sikit-sikit boleh menerima.

“Mungkin sebab saya dah lama tak balik Sarawak sebab tidak diterima,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemubual.

Berkongsi sejarah yang dianggap indah dalam hidupnya, Siti Aisyah mula tertarik dengan keindahan cara hidup Islam selepas berkenalan dengan Pengasas Rumah Perlindungan Nur Hati yang dipanggilnya umi.

Selepas itu, beliau dan suami membuat keputusan drastik pada tahun 2005 dan sejak itulah Siti Aisyah menjadi sukarelawan di rumah perlindungan tersebut sehingga hari ini.

MGF31052019_RUMAH NUR HATI13
Temubual eksklusif bersama penghuni, Siti Aisyah Abdullah di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2019.

Meskipun tidak menerima gaji setiap bulan kerana menjaga kanak-kanak tidak bernasib baik di rumah itu, namun ujar Siti Aisyah,  tujuan utamanya bukan wang.

Sebaliknya mahu mengetahui dan mendalami apa maksud ikhlas dalam beramal.

“Saya suka duduk di sini, sebab saya nak kenal apa itu Islam saya nak tahu apa itu ikhlas dan amal jariah.

“Sebelum masuk Islam lain, ikut suka hati. Islam kita buat sesuatu kita dapat pahala,” katanya lagi.

Hampir 15 tahun menjadi sukarelawan di situ, Siti Aisyah menganggap rumah perlindungan itu sebagai rumah dan kampungnya.

Tidak pernah berkecil hati dengan keluarganya, tetapi sentiasa tenang dan sabar dalam menanti penerimaan sepenuhnya.

Walaupun beliau dan suami berasal dari Sarawak, namun setiap tahun pasangan itu akan meraikan Aidilfitri dengan warga Rumah Perlindungan Nur Hati itu sehinggalah kini. -MalaysiaGazette