
KUALA LUMPUR – Bagi Marsyila Zakaria, derita yang dilaluinya selama ini adalah ujian dan duka yang menjadi kekuatan untuk membesarkan anak-anak seramai tujuh orang termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).
Di sebalik senyum dan tawa riangnya, wanita berusia 35 tahun itu sudah jenuh mengharungi cabaran penuh liku sejak hampir setahun lalu.
Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami sejak 10 tahun lalu
begitu banyak melukiskan cerita.
Betapa rumah dua bilik itu menyaksikan Marsyila sering menitiskan air mata demi anak-anak.
Namun hari ini, kehidupan Marsyilla dan anak-anaknya kini berubah dalam sekelip mata.
Jika sebelum 16 Mei lalu, rumah mereka sunyi sepi tiada tetamu, hari ini ia tidak putus-putus dengan kehadiran orang ramai bermula awal pagi hingga ke lewat malam.
Malah ruang rumah hingga ke bahagian dapur pula penuh dengan barangan makanan seperti mini kedai runcit.
Marsyila menyifatkan apa yang berlaku sebagai rezeki Ramadan dan pertemuan dengan MalaysiaGazette secara kebetulan telah membuka jalan rezeki yang luas.
Jelas wanita yang membesarkan anak-anak seorang diri selepas suami dimasukkan ke Pusat Pemulihan pada Ogos lalu, dia tidak menyangka sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan perasaan terlampau seronok.
“Saya tidak jangka sambutan Hari Raya tahun ini terlampau seronok dan tidak sangka ramai orang prihatin sejak MalaysiaGazette buat artikel pasal keluarga saya.
“Ramai sangat bantu dan datang ke rumah saya seperti golongan Datuk, persatuan penduduk, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Baitumal, Jabatan Kebajikan Malaysia, PKR, UMNO.
“Mereka beri kata-kata semangat agar saya jadi kuat dan buat saya rasa seronok kerana selama ini saya tidak ada yang beri motivasi ketika pernah terputus makanan dan hanya diam serta tidak meminta.
“Waktu itu tidak ada yang kata, saya kena buat itu dan ini. Saya hanya seorang-seorang dan ini rezeki Ramadan kerana pertemuan tidak disangka secara tiba-tiba Allah SWT buka rezeki macam ini,” katanya.
Kisah Marsyila dan anak-anak menjadi tular di media sosial kerana mereka pernah berkongsi nasi berlaukkan garam selama tiga hari kerana pernah tiada wang membeli makanan.
Namun kerana tidak sanggup lagi melihat nasib anak-anak, Marsyila menebal muka mengetuk pintu rumah jiran untuk meminta telur yang digorengnya hancur-hancur bagi menukar selera mereka.
Marsyila memberitahu dia hanya bekerja mencuci pakaian di rumahnya yang dihantar orang ramai dengan bayaran RM5 sebakul. Katanya baju itu dicuci menggunakan tangan dan sabun basuh sendiri.
Sekiranya tidak menerima baju hari tersebut, dia akan keluar dengan berjalan kaki sejauh 1 kilometer untuk mencari rumah-rumah yang ingin dibersihkan.
Jelasnya, bayaran yang dikenakan hanya RM30 untuk membersih rumah dan pakaian sekali.
Tambahnya sayu, sekiranya masih tiada lagi rezeki untuk hari itu, dia akan mencari restoran untuk meminta kerja mencuci pinggan dengan bayaran RM10.
Tujuh beranak itu tinggal di situ sejak 10 tahun lalu dengan sewa dibayar oleh Baitumal sebanyak RM124 sebulan.
Ini kerana, anak ketiga dan keempatnya dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Tetapi anak ketiganya meninggal dunia enam tahun lalu.
Keluarga ini turut mendapat barangan asas daripada Baitumal bernilai RM300 seperti beras, susu pekat, minyak dan tepung selain bantuan ubatan untuk anak OKU sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Malaysia.
Ditanya perancangan jangka pendek selepas Hari Raya ini, Marsyila memberitahu dia berhasrat untuk membuat bisnes kuih pie secara sejuk beku.
“Saya hendak buat kuih selain banyak dapat tawaran dengan Datuk Seri Aliff Syukri yang hendak ajar buat bisnes online
“Kuih pie sejuk beku itu saya hendak letak di restoran kerana sekurang-kurang tidak ada masalah sebab ada orang boleh datang ambik dan saya hanya buat kuih di rumah,” katanya penuh teruja.
Mengulas sumbangan makanan yang terlalu banyak dan ada barangan yang mempunyai tarikh luput yang terhad seperti telur, Marsyila berkata, sebahagian daripadang sudah asingkan untuk anak-anak.
“Ada berlebihan dan tidak boleh simpan lama dan saya sudah niat untuk sedekah kepada masjid.
“Macam beras yang terlalu banyak boleh buat bubur lambuk dan wakaf atas nama penyumbang keluarga saya,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Marsyila mengucap ribuan terima kasih kepada semua penyumbang yang membantu keluarga dan memohon maaf jika ada kata-kata yang menyinggung mana-mana pihak selama ini.
“Saya dan anak-anak hendak ucap terima kasih kepada semua penderma dan penyumbang bekalan makanan dan keperluan anak serta kewangan kepada kami yang serba sikit dapat membantu saya sekeluarga untuk persiapan Hari Raya
“Saya juga hendak minta maaf jika ada buat orang terasa atau marah dengan kata-kata saya pasal bantuan dan saya juga memaafkan sesiapa sahaja yang mengata saya tanpa usul periksa dan buat fitnah,” katanya tersenyum. – MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN :