Home Nasional Pelantikan Latheefa tidak dibincangkan dalam Kabinet – Gobind

Pelantikan Latheefa tidak dibincangkan dalam Kabinet – Gobind

Gobind
Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA – Latheefa Beebi Koya perlu diberikan sedikit masa secukupnya untuk beliau menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, Latheefa menggalas  tanggungjawab yang besar dan mencabar dalam institusi pencegahan rasuah, bagaimanapun pengalaman dan kelayakan yang dimilikinya pasti membolehkan beliau menghadam dan menyerlah dalam tugas tersebut.

Pemimpin DAP itu turut mengalu-alukan pelantikan Latheefa yang mendapat kritikan pelbagai pihak kerana didakwa tidak menepati Jawatankuasa Pemilihan Parlimen selain bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan.

Beliau yang juga mempertahankan pelantikan tersebut berkata, wanita itu mempunyai pengalaman guaman yang luas dan sangat serasi dengan penjawatan baharunya untuk menerajui institusi itu.

“Saya tak terkejut dengan pelantikannya sebab bagi saya dia seorang yang berpengalaman lama mengamalkan bidang guaman dan memahami undang udang dalam SPRM.

“Saya juga kenali dia sejak mengamalkan guaman bersama-sama, dia ada kelebihan dan boleh melakukan tugas itu ,” katanya.

Ditanya kritikan-kritikan bahawa Latheefa tidak berpengalaman dan kerajaan tidak memberi keutamaan kepada pegawai kerajaan yang berpengalaman dalam SPRM, beliau berkata: “Saya pun tidak mempunyai pengalaman menjadi menteri, tapi kita perlu memulakannya dari suatu tempat untuk menyampaikan tugas yang diamanatkan.

“Saya juga pasti pelantikannya berdasarkan merit dan bukannya kepentingan politik.”

Disoal sama ada Kabinet dibincangkan dan bersetuju dengan pelantikan Latheefa, Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, pelantikan Latheefa tidak dibincangkan dalam Kabinet.

Bagaimanapun, beliau sebagai anggota Kabinet tidak ada isu dalam perkara itu dan mengalu-alukannya.- MalaysiaGazette