Home Nasional Sah Latheefa bukan lagi ahli parti – Saifuddin Nasution

Sah Latheefa bukan lagi ahli parti – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Bekas pemimpin Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya telah menghantar surat untuk meninggalkan parti itu Isnin lepas.

Malah perkara tersebut telah sampai ke pengetahuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan Latheefa menerima tawaran dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkuatkuasa 1 Jun lepas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang yang mendadahkan perkara itu berkata, Latheefa telah menghantar e-mel yang ditujukan kepada Presiden Parti pada Isnin lalu.

“Jika anda tanya tentang status beliau dalam parti ketika ini, kita sudah anggap beliau bukan lagi ahli parti ini.

“Anwar baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah, beliau tidak sempat membaca e-mel berkenaan ketika ianya dihantar oleh Latheefa.

“Pelantikan ini juga sebenarnya mengikut lunas perlembagaan secara sah apatah lagi Latheefa juga telah bertindak meletak jawatan dan meninggalkan keanggotaanya dalam parti masa ini.

“Tidak timbul isu konflik dan sebagainya. Beliau sebenarnya telah memenuhi syarat-syarat utama bagi menjawat jawatan tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis  Rumah Terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana hari ini.

Latheefa yang juga merupakan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty.

Selain kepimpinan Pakatan Harapan melahirkan rasa terkejut dengan pelantikan itu, barisan pembangkang turut menyoal adakah lantikan tersebut mempunyai agenda tersembunyi bagi membantutkan usaha Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan pelantikan yang dilakukannya sendiri dengan menyatakan Latheefa mempunyai perwatakan tegas serta lurus.

Malah Dr Mahathir mengakui beliau tidak meminta pandangan Kabinet.

Dilahirkan di Kerala, India, Latheefa adalah peguam dan aktivis hak asasi manusia melalui Lawyers for Liberty sejak 2011.

Pada 21 Mei tahun lalu, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun iaitu mulai 18 Mei 2018 sehingga 17 Mei 2020. – MalaysiaGazette