Home Nasional Tiga sekeluarga maut dipanah petir di Jempol

Tiga sekeluarga maut dipanah petir di Jempol

JEMPOL – Sepasang suami isteri bersama seorang anaknya ditemui mati di sebuah kandang kambing di Felda Palong Enam dekat sini, dipercayai akibat dipanah petir petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 petang itu, mangsa S. Elangovan, 38, P. Kaliammah, 36, dan anak lelaki mereka, E. Vinesh, tiga tahun, maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi anak pasangan itu yang berusia sembilan tahun, turut mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian berkenaan.

“Kami menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 11.50 malam tadi dan sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui tiga mayat dalam keadaan terduduk dan terbaring,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum itu, seorang ahli keluarga mangsa telah meminta bantuan jiran untuk mencari mangsa kerana tidak pulang-pulang selepas pergi ke kandang itu pada petang yang sama.

“Jiran yang ke kandang itu pada mulanya mendengar tangisan kanak-kanak yang cedera sebelum menemui tiga mangsa lain.

“Ketika kejadian, cuaca dipercayai hujan lebat dan petir sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di kandang itu turut mendapati tujuh ekor kambing dan dua ekor anjing turut mati dengan kesan terbakar pada bulu haiwan itu.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, hasil bedah siasat ke atas semua mangsa pagi ini mendapati mangsa mengalami kejutan elektrik akibat petir dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – Bernama