MEXICO CITY – Tentera, polis bersenjata dan imigresen menyekat dan menahan beratus-ratus pendatang asing yang melintasi sempadan dari Guatemala dalam ke selatan Mexico.
Tindakan yang dilakukan di bandar sempadan Metapa, menunjukkan Mexico berusaha mengatasi aliran pendatang terutama dari Amerika Tengah, kata Salva Cruz, penyelaras operasi tersebut.
Majoriti para pendatang itu merupakan pencari suaka dari Honduras, Guatemala dan El Salvador yang melarikan diri akibat keganasan dan kemiskinan.
Operasi di Chiapas itu dilakukan ketika wakil Mexico mengadakan pertemuan dengan Amerika Syarikat untuk rundingan bagi tindakan tarif oleh pentadbiran Donald Trump yang diumumkan pada minggu lalu.
Trump berkata, pelaksanaan tarif sehingga 25 peratus itu akan dikuatkuasakan susulan kegagalan Mexico menghentikan kemasukan warga Amerika Tengah di sempadannya.
Pemantau sempadan menganggarkan lebih daripada 132,000 orang menyeberangi dari Mexico pada bulan Mei, lebih satu per tiga berbanding pada bulan April – tertinggi sejak tahun 2006.
Sumber Institut Pendatang Kebangsaan Maxico berkata, pendatang yang tiba di sempadan negara itu diminta menunjukkan status mereka. – MalaysiaGazette