Home Nasional PSM desak mansuh sistem kontrak tetap pengambilan pekerja pembersihan sekolah

PSM desak mansuh sistem kontrak tetap pengambilan pekerja pembersihan sekolah

V.Selvam

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak Kementerian Pendidikan menghapuskan sistem kontrak pengambilan pekerja pembersihan yang dilakukan secara tetap di sekolah-sekolah di seluruh negara.

PSM mahu sistem diskriminasi itu dihentikan segera dan digantikan dengan kontrak perkhidmatan yang tulen dan adil untuk semua pekerja pembersihan itu daripada hak mereka dieksploitasi di bawah undang-undang sedia ada.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, V. Selvam berkata, amalan kontrak atau subkontrak tetap dan berjangka panjang itu adalah salah di sisi undang-undang dan melanggar Akta Pekerjaaan 1955 di samping ultra vires (melangkau kuasa perundangan) Perlembagaan Negara.

“Kami merayu KPM membetulkan segera amalan ketidakadilan berkenaan dan menyediakan pekerjaan yang tetap dan keselamatan pekerjaan kepada pekerja-pekerja tukang bersih yang menderita sejak kerja kontrak diperkenalkan.

“Penamatan kontrak terhadap 45,000 pekerja tukang bersih sekolah baru-baru ini mengakibatkan (mereka) kehilangan pekerjaan.

“Ia jelas mendedahkan amalan diskriminasi sistem kontrak yang diamalkan kerajaan yang ternyata disalahgunakan kontrak jangka panjang itu.

“Sejak penswastaan perkhidmatan pembersihan sekolah dan keselamatan pada pertengahan tahun 1990-an, semua pembersih dan anggota keselamatan yang bekerja secara langsung di bawah kerajaan sebelum menjadi pekerja kontrak yang dilantik KPM setiap tiga tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mahu kerajaan mengambil serius nasib pekerja pembersihan itu yang ditamatkan kontrak baru-baru ini dan menyelesaikan dengan kaedah terbaik.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan melantik kontraktor menerusi sistem tender bagi kerja-kerja pembersihan semua sekolah.

Justeru kontrak jangka tetap tiga tahun boleh digunapakai untuk pekerjaan bermusim, dalam dalam skala kecil atau sementara yang mana pekerja itu hanya diperlukan untuk sementara waktu projek jangka masa pendek atau tempoh kontrak singkat sahaja, tetapi tidak seharusnya digunakan untuk kerja-kerja pembersihan sekolah yang merupakan pekerjaan berjangka panjang.

Menurutnya, ia adalah kontrak berjangka tetap bertempoh tiga tahun dan nasib serta status pekerja terbabit berada dalam kritikal jika kontrak itu tamat tempoh dan terpaksa menunggu kontraktor baharu untuk mengambil mereka tanpa jaminan pekerjaan tetap.

“Ia sekali gus mencetuskan situasi aneh terhadap pekerja pembersihan itu yang mana kalau bernasib baik dia mungkin akan bekerja secara berterusan di sekolah sama.

“PSM terkejut bagaimana kerajaan boleh membenarkan amalan ini diteruskan dengan mengeksploitasi pekerja menerusi kontrak tetap tiga tahun apabila dinafikan segala kemudahan di bawah Akta Pekerjaan iaitu tidak menikmati cuti tahunan, cuti sakit, kenaikan gaji mengikut tahun perkhidmatan, dan tidak ada pampasan jika diberhentikan atau ditamatkan kerja.

“Mereka juga akan dianggap pekerja baharu pada setiap tiga tahun selepas tamat kontrak dan diambil bekerja semula dibawah kontrak baharu,” katanya. – MalaysiaGazette