KUALA LUMPUR – Tular video kenderaan pacuan empat roda milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa dipandu pegawai seorang menteri terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan.
Pihak yang menularkan video tersebut mempersoalkan bagaimana pegawai tersebut boleh memandu kenderaan rasmi DBKL di luar ‘kawasan liputan’, lebih menjengkelkan apabila kenderaan tersebut didakwa menggunakan laluan kecemasan ketika trafik sesak dan melanggar sebuah motosikal.
Kejadian dipercayai berlaku pada Khamis 6 Jun semalam sekitar 2 hingga 3 petang dan semasa kejadian lebuh raya menuju ke ibu negara sesak dan kenderaan dilihat bergerak agak perlahan.
Bagaimanapun menurut sumber polis kepada MalaysiaGazette, pegawai berkenaan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di mana beliau menafikan memandu di lorong kecemasan dan melanggar motosikal.
Ketika kejadian menurut laporan polis berkenaan, pegawai tersebut memandu Nissan Xtrail putih milik DBKL itu tiba di kilometer 253.3 Lebuh Raya Utara selatan selepas Pedas dan berada di lorong paling kiri.
Difahamkan sebuah kereta di hadapannya membrek secara mengejut dan untuk mengelak melanggar kenderaan berkenaan beliau juga telah menekan brek sehingga menyebabkan Nissan Xtrail itu masuk ke lorong kecemasan.
Akibat kejadian itu, sebuah motosikal jenis Yamaha Y150 yang datang dari arah belakang gagal mengelak Nissan Xtrail dan melanggar kenderaan itu sehingga penunggangnya terjatuh.
Kenderaan SUV DBKL itu mengalami kerosakan pada pintu depan sebelah kiri penumpang dan cermin sisi kiri juga patah.- MalaysiaGazette