Home Nasional Isu terima dron AS lagi besar berbanding Latheefa

Isu terima dron AS lagi besar berbanding Latheefa

KUALA LUMPUR – Pemerolehan 12 dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle bernilai hampir RM80 bilion secara ‘percuma’ daripada Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia disifatkan sangat merbahaya.

Malah tindakan kerajaan Malaysia yang menerima 12 dron itu  sebenarnya jauh lebih bahaya daripada pelantikan bekas Presiden Lawyers For Liberty, Latheefa Koya sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa kini.

Menurut  Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, tindakan AS memberikan dron dengan percuma dengan sendirinya mewujudkan prasangka.

Jelas Arutchelvan, dengan idealogi Presiden AS, Donald Trump dengan perjuangan ‘Amerika First’ itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila pemberian seperti ini diberikan tanpa sebarang agenda tersembunyi.

“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat harus menjadi pemimpin bagi negara-negara berkecuali dan tidak memihak kepada  kuasa-kuasa besar yang memang mempunyai agenda mereka sendiri.

“Saya pasti Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sedia maklum tentang kuasa imperialis US yang menjadikan dunia hari ini sebagai tidak selamat malah polisi ketenteraan US di Timur tengah terutamanya di Palestine dan Iran telah menimbulkan pelbagai kontroversi.

“Dengan menerima drone dari AS, seolah-olah Malaysia sudah ‘berkompromi’ dengan agenda Imperialis AS.

“Sebenarnya PH harus menjadikan rantau Asia Tenggara bebas dari campur tangan kuasa besar dunia dan bukan dengan menerima pemberian ‘mahal’ yang pastinya ada udang di sebalik batu seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Arutchelvan mengulas kenyataan Kementerian Pertahanan tentang pemerolehan 12 dron bernilai hampir RM80 bilion yang tidak melibatkan sebarang kos pada kerajaan Malaysia.

Kata Kementerian Pertahanan itu merupakan program yang dibiayai sepenuhnya oleh AS.

“AS melalui program Maritime Security Initiative (MSI) telah menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.

“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset berkenaan secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022 di mana kumpulan pertama sebanyak Enam ScanEagle UAV dijangka akan diterima pada pertengahan November ini.

Menurut laman The Defence Post, pesawat berkenaan mempunyai kebolehan untuk terbang selama 20 jam dan boleh digunakan untuk misi risikan, peninjauan dan pemantauan.

Selain Malaysia, yang memperoleh 12 unit, negara lain yang berada di rantau Laut China Selatan turut terlibat program berkenaan.

Indonesia dan Filipana masing-masing akan memperoleh lapan unit, sementara Vietnam enam unit. –MalaysiaGazette