Home Politik Lantik Latheefa tanpa restu PH bukti Tun M bersikap kuku besi

Lantik Latheefa tanpa restu PH bukti Tun M bersikap kuku besi

Datuk Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Pelantikan Latheefa Koya untuk menerajui Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa mendapat restu daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad cuba mengulangi sikap kuku besi sebelum ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, tindakan melulu Perdana Menteri itu sudah cukup mengiakan kenyataan Nurul Izzah Anwar sebelum ini yang melabelkannya sebagai diktator.

“Terbukti sudah Mahathir seorang kuku besi di dalam mentakdbir. Beliau sanggup ketepikan perjanjian PH yang mana tidak ada lantikan politik terhadap jawatan kerajaan.

“Walau apa pun alasan dan tugasan yang diberikan kepada Latheefa, yang tersurat dan tersirat, ianya adalah untuk kepentingan peribadi Dr Mahathir.

“Pelantikan ini tidak dipersetujui bukan hanya dalam kalangan netizen, malah ia melibatkan pemimpin kerajaan dan juga pemimpin pembangkang.

“Ibarat singa yang berkuasa, tidak akan ada pemimpin tertinggi PH akan membidas Tun M, walaupun di kedai kopi mereka hebat mempertikaikannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 4 Jun lalu mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun pelantikan Latheefa dipertikai banyak pihak kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di mana lantikan jawatan utama suruhanjaya itu perlu dirujuk kepada Parlimen.

Mohd Razlan juga mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak melatah dengan sikap Dr Mahathir itu jika tidak mahu sejarah hitamnya berulang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Anwar perlu berhati-hati dengan umpan Tun M! Sekiranya Anwar melatah terhadap permainan Tun M, sejarah bakal berulang, kempunan sekali lagi Anwar untuk menjadi orang nombor satu dalam kerajaan.

“Azmin pula sedang tersenyum melihat permainan ini, di dalam corong-corong politik, mereka berkata, ini adalah permainan Azmin,” dakwanya.

Mohd Razlan turut mengingatkan pemimpin pembangkang khususnya UMNO agar tidak terus leka dengan konflik dalaman PH tanpa berbuat apa-apa.

“Apa lagi pemimpin UMNO nak tunggu, masih nak berpeluk tubuh menunggu bulan jatuh ke riba? Mengharapkan hujan turun walaupun guruh sudah berdentum semenjak tahun lepas?” katanya.

Dakwanya lagi, sikap keras kepala Dr Mahathir itu juga hanya menguntungkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan pemimpin DAP yang lain.

“Mereka tidak peduli apa yang dimainkan oleh kepimpinan Tun M, selagi kuasa kewangan di tangan DAP, mereka lantas menyusun kekayaan untuk kroni mereka.

“Polimik ini terus merugikan rakyat, yang sedang merompak, akan terlepas pergi, yang disasarkan akan dipastikan ditangkap.

“Rundingan terus yang dijanjikan tidak ada lagi, sedang hebat digunakan oleh PH di dalam merompak duit rakyat. Yang pastinya, rakyat terus gigit jari disebabkan kerakusan politikus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette