KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu pengiktirafan kepada kepimpinan wanita dan generasi muda untuk mendepani agenda rasuah di negara ini.
Naib Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, selaku kepimpinan muda dalam Keadilan, generasi muda sedia bekerjasama dengan pihak SPRM bagi merealisasikan agenda pendidikan anti rasuah dan integriti.
“Semoga dengan pelantikan ini memberikan suatu kekuatan baharu kepada agenda anti rasuah ke arah membentuk Malaysia Baharu yang bebas rasuah dan mengukuhkan sistem tadbir urus yang baik dan budaya integriti holistik.
“Anak muda mesti mendepani agenda itu secara positif. Semoga Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru terus cekal dan gagah mendepani agenda anti rasuah dan tidak tunduk kepada gesaan meletak jawatan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 4 Jun lalu mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun pelantikan Latheefa dipertikai banyak pihak kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di mana lantikan jawatan utama suruhanjaya itu perlu dirujuk kepada Parlimen. – MalaysiaGazette