KUALA LUMPUR – Buku ‘Surat Terpilih Dr Mahathir Kepada Pemimpin Dunia’ mendedahkan pembelian kapal selam Scorpena dari Perancis telah dibuat semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2002.
Ketika itu, Dr Mahathir juga adalah menteri kewangan.
Datuk Seri Najib Razak mendakwa, sebenarnya, pembelian kapal selam ini adalah hasil perbincangan terus antara Dr. Mahathir dengan pemimpin Perancis bermula pada tahun 1998.
Menurutnya, dalam muka surat 218 buku tersebut, Dr Mahathir memaklumkan beliau telah bertukar-tukar empat pucuk surat dengan pemimpin Perancis pada tahun 1998.
Kandungan surat itu menyatakan bahawa MAS akan mendapat lebih hak mendarat di Paris dan Malaysia akan mendapat dua kapal selam buatan Perancis iaitu jenis Scorpene yang akan dihantar pada 2009.
Dalam surat itu, Dr Mahathir berkata, dua kapal selam itu akan diletakkan di pangkalan di Sepanggar di Sabah apabila ia sudah beroperasi nanti.
Najib berkata, perjanjian pembelian 2 kapal selam utama dan 1 kapal selam latihan ini dimuktamadkan pada tahun 2002 ketika itu beliau adalah menteri pertahanan.
“Pada masa itu, saya adalah Menteri Pertahanan dan PM ke-4 yang juga adalah Menteri Kewangan ialah individu yang meluluskan pembelian itu.
“Bagaimanapun, pada tahun 2017, PM ke-4 kata dia tak tahu mengenai pembelian Scorpene bernilai AS$1.3 bilion ini dan bukan dia yang meluluskan pada tahun 2002,” kata Najib dalam hantaran di Facebook.
Dr Mahathir dilaporkan berkata: “Saya memang tak nak beli kerana kita tak boleh guna. Kapal selam itu kita tak boleh guna di Selat Melaka. Dan kita tidak ada duit, kosnya tinggi.”
“Tetapi tiba-tiba setelah saya bersara (pada akhir tahun 2003), saya dapat tahu menteri pertahanan sudah buat pesanan untuk mendapatkan dua buah Scorpene,” kata Dr Mahathir. (Video penafian PM ke-4: https://youtu.be/PK-eVIH7mHE).
Namun, Najib berkata, berita pembelian Scorpene ini telah dilaporkan secara meluas oleh media dunia pada tahun 2002. (5 Jun 2002: Malaysia seals RM3.7 bln maiden deal to buy French submarines https://www.malaysiakini.com/news/11663).
Dakwa Najib, sebenarnya, pembelian kapal selam ini adalah hasil perbincangan terus antara Dr Mahathir dengan pemimpin Perancis bermula pada tahun 1998.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pembelian kapal itu antara propaganda DAP yang sering dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) bertujuan untuk menipu, menghasut dan menanamkan kebencian terhadapnya.
Katanya, sehingga hari ini, ramai penyokong DAP yang masih percaya penipuan parti itu mereka bahawa kerajaan BN membeli kapal selam yang tidak dapat menyelam.
“Sebenarnya pada tahun 2011, Guan Eng telah berselam dan naik bersama kapal selam itu.
“Jelas kelihatan masa itu, dia banyak syiok.
“Jika ianya benar bahawa kapal selam itu tak boleh selam dan tak boleh selamat timbul semula maka tidak wujud lagi Menteri Kewayangan hari ini,” sindirnya. – MalaysiaGazette