Home Nasional Karak sesak, PLUS perlahan

Karak sesak, PLUS perlahan

Aliran trafik di Karak pada pukul 3.50 petang tadi. Gambar LLM

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di dua lebuh raya utama petang ini dilapor perlahan dengan Lebuhraya Karak dilapor sesak berikutan aliran kenderaan yang tinggi.

Maklumat daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menunjukkan, trafik sesak di persimpangan Karak sehingga ke Plaza Tol Gombak sejak pukul 5.25 petang tadi.

Pergerakan trafik dari utara ke Kuala Lumpur adalah perlahan di Seberang Perai, Taiping ke Changkat Jering serta di kawasan mendaki dari Terowong Menora ke Ipoh, katanya.

Pergerakan trafik turut perlahan di laluan mendaki di Gua Tempurung, Tapah ke Sungkai dan Bukit Tagar ke Sungai Buaya.

Di sebelah selatan, trafik yang menghala ke Kuala Lumpur bergerak perlahan ke Sedenak, Senai dan Simpang Renggam ke Ayer Hitam. Trafik turut bergerak perlahan di laluan mendaki antara Pedas Linggi dan Port Dickson.

Beberapa kemalangan yang berlaku turut menyumbang kepada kesesakan apabila orang ramai memperlahankan kenderaan untuk melihatnya, antaranya di KM102.6 arah utara dari Yong Peng ke Pagoh dan KM206.7 arah utara dari Changkat Jering ke Taiping.

PLUS menasihatkan semua pemandu supaya mendapatkan rehat yang cukup dengan berhenti rehat setiap dua jam di kawasan rehat yang disediakan di sepanjang lebuh raya. – MalaysiaGazette