Home Dunia Mahkamah tolak permohonan tahan wartawan

Mahkamah tolak permohonan tahan wartawan

Ivan Golunov. foto BBC

MOSCOW – Mahkamah memerintahkan wartawan penyiasat Rusia, Ivan Golunov diletakkan di bawah tahanan rumah dua bulan di Moscow ketika dia disiasat berhubung penjualan dadah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menolak permohonan penyiasat untuk menahannya.

Ivan, 36, sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan sumbernya pada hari Khamis apabila dia ditahan di pusat Moscow dan dadah ditemui di dalam beg sandangnya, menurut polis dan majikannya, sebuah portal berita Meduza.yang berpusat di Latvia.

Wartawan ini dikenali dengan laporan siasatan rasuah membabitkan golongan elit perniagaan dan politik Rusia dan peguamnya percaya polis telah sengaja meletakkan dadah bagi tujuan untuk mendakwanya.

Malah, beliau mendakwa Ivan telah dipukul oleh polis.

Ivan juga telah menafikan semua dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

“Saya tidak terlibat dalam jenayah dan saya bersedia untuk memberi kerjasama. Saya tidak pernah terlibat dalam dadah,” kata Ivan yang dipetik oleh agensi berita Rusia.

Ivan turut mendakwa telah menerima ancaman berikutan siasatan yang dijalankan dalam industri perkhidmatan pengebumian.

Wartawan itu didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah secara besar-besaran dan penyiasat mahu mahkamah membenarkan dia direman sehingga dua bulan.

Wartawan yang kritikal terhadap kerajaan atau pihak berkuasa lain boleh mengundang bahaya di Rusia sejak tahun 1990-an.

Menurut Jawatankuasa Untuk Melindungi Wartawan (CPJ), sebuah organisasi bukan kerajaan Amerika Syarikat, seramai 58 wartawan telah terbunuh di Rusia sejak 1992, yang mana 38 disasarkan untuk pembunuhan. – MalaysiaGazette