KUALA LUMPUR- Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mempercepatkan dan membuka semula kertas siasatan tujuh kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.
Menurut Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu perlu membuktikan integriti dan mengotakan janji beliau untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah.
Katanya, tujuh kes tersebut adalah projek terowong bawah laut dan pembelian banglo melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang ketika itu masih menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Latheefa dan SPRM juga digesa supaya menyiasat kes berkaitan kejanggalan senarai keanggotaan parti dan dakwaan pembelian undi dalam pemilihan PKR lepas.
Selain itu, Pemuda UMNO juga meminta supaya kes rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Kuching Sarawak oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Zahid Mat Arif yang ketika masih menjadi Pegawai Khas bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad serta penerimaan wang berjumlah RM800,000 daripada 12 kontraktor yang melibatkan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd. Azhar Che Mat Dali tidak “disenyapkan”.
Kes monopoli kontrak perolehan kementerian oleh anak kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Muhammadin Ketapi juga perlu segera disiasat SPRM, kata Asyraf.
Beliau juga menyenaraikan pendedahan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Syukri Abdull di dalam mesyuarat yang melibatkan menteri-menteri dan ketua-ketua setiausaha kementerian yang dipengerusikan Perdana Menteri berkenaan arahan seorang menteri kabinet terhadap penerima kontrak kerajaan.
Arahan tersebut bertujuan menyalurkan dana kepada parti tertentu dengan ugutan untuk menarik balik kontrak jika gagal melakukannya sebagai kes berprofil tinggi ketujuh yang perlu disiasat oleh SPRM yang diketuai Latheefa.
“Syabas kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana meneruskan tradisi dan konsistensi mereka untuk terus memungkiri janji manifesto pilihanraya kepada rakyat yang ditanggapi bukan kitab suci yang wajib dipatuhi.
“Justeru, bagi memberi peluang kepada Puan Latheefa Koya membuktikan kesungguhan dan mengotakan janji beliau untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah, Pemuda UMNO menyarankan agar beliau haruslah ‘without fear or favour’ mempercepatkan dan membuka kembali kertas siasatan tujuh kes berprofil tinggi melibatkan rakan-rakan pimpinan PH beliau yang ‘disenyapkan”.
“Ironinya, setakat hari ini, ironinya maklumbalas yang diterima dari SPRM mengenai kes-kes di atas sama ada ‘masih dalam siasatan’ atau ‘tiada tindakan lanjut’ seolah-olah ada arahan untuk ‘disenyapkan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette