Home Politik Kit Siang akui lantikan Latheefa ikut undang-undang tapi salah secara politik

Kit Siang akui lantikan Latheefa ikut undang-undang tapi salah secara politik

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui bahawa pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri sebagai satu perkara yang betul daripada segi undang-undang.

Namun, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu hanya menyanggah cara yangTun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai telah melakukan satu langkah salah secara politik berhubung pelantikan itu.

Menurutnya, tindakan  Mahathir melantik Latheefa ke jawatan itu sebagai tidak selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Mereka yang memprotes pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana melanggar janji manifesto PRU14 tidak salah.

“Saya yakin jika Latheefa bukan orang yang terlibat dalam kontroversi sekarang, dia juga akan berada di barisan depan mengkritik pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan cara yang sama seperti pelantikannya sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Veteran DAP itu turut memberitahu, pelantikan penyandang sebelum Latheefa, iaitu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada 18 Mei tahun lalu turut melanggar janji manifesto itu.

Walaupun ada yang mengatakan pelantikan untuk jawatan itu perlu disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama tetapi terma rujukannya menunjukkan jawatankuasa itu hanya berfungsi sebagai peneliti, katanya.

Tambah beliau, pelantikan Shukri dan Latheefa tidak dapat disahkan Parlimen kerana peruntukan undang-undang yang diperlukan untuknya belum ada.

Bagaimanapun, beliau berkata, pindaan perlembagaan diperlukan untuk melaksanakan janji manifesto PH yang belum dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Kit Siang menegaskan, keperluan untuk pemimpin PH untuk mengesahkan komitmen kepada manifesto PH sebagai Malaysia Baru.

“Kami mahu visi Malaysia Baru oleh PH berjaya, yang bermakna kami mahu Latheefa berjaya dalam menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah,” ujarnya. – MalaysiaGazette