KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya perlu membuka semula kes banglo dan terowong bagi membuktikan beliau seorang berintegriti dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.
Ketua Penerangan Penaja Wira PUTRA Malaysia, Meor Mohd Hilmi Ibrahim berkata, kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang perlu dibuka dengan segera bagi membuktikan integriti beliau.
“Kita pasti dan yakin bahawa dengan perwatakan dan latar belakang pengalaman Latheefa sebagai seorang aktivis masyarakat dan peguam, beliau mampu menjalankan tugas without fear or favour.
“Sekiranya kedua-dua kes ini dilihat tidak diambil tindakan sewajarnya maka pelantikan beliau tiada bezanya dengan lantikan politik yang lain sebelum ini.
“Akhirnya bercakap tak serupa bikin seperti ayam berkokok tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya akur kepada tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantik Latheefa tanpa berbincang dengan Kabinet mungkin disebabkan masalah sijil palsu yang menghantui pemimpin Pakatan Harapan (PH).
“Mungkin Mahathir sudah mengetahui ada anggota kabinet tiada sijil kelulusan (dakwaan tipu dan beli sijil) dan tidak juga merujuk kepada Majlis PH kerana pada awal PM jangka cadangannya akan dibantah.
“Jika PH hilang kepercayaan rakyat kerana mungkir janji, pada PM itu bukan lagi menjadi masalahnya kerana PRU-15 tokoh lain memimpin PH,” katanya.
Katanya, Latheefa diharapkan dapat bertindak secara progresif, profesional, adil, serta bijaksana dalam kes yang dilaporkan kepada SPRM khususnya skandal banglo dan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.
“Beliau mesti mampu mendesak Peguam Negara membuka semua kes agar dibicara di mahkamah untuk menentukan salah atau tidak.
“Peguam Negara tidak boleh tarik balik, batal kes atau tidak membawa pendakwaan atas alasan bukti kukuh tidak mencukupi.
“Salah atau tidak adalah tugas hakim membuat keputusan. Bila seseorang sudah dituduh, biar mahkamah yang membersihkan nama yang tertuduh,” katanya.
Katanya lagi, selain kes terowong bawah laut di Pulau Pinang menjadi cabaran kepada Latheefa, kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bakal menjadi pengukur kepada integriti beliau.
“Wira Putra mendesak agar beliau dapat memastikan siasatan serta perjalanan kes inkues Allahyarham Muhammad Adib kerana dikhuatiri ada aktiviti rasuah semasa perbicaraan kes ini berjalan sebab ada saksi yang membuat laporan polis kerana diugut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette