Home Ekonomi Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan

KUALA LUMPUR- Keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan masih lagi kekal meskipun risiko dan cabaran dalam ekonomi global masih tidak menentu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan sejumlah RM53.9 bilion pelaburan telah diluluskan dalam bidang pengilangan, perkhidmatan dan sektor utama pada suku pertama 2019.

Ia meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding RM52.3 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Menurut MIDA, prestasi positif itu dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh sektor pengilangan yang melonjak sebanyak 126.8 peratus berbanding suku pertama tahun lepas.

Pelaburan asing meningkat sebanyak 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion pada suku pertama 2018.

Pelaburan domestik yang telah dululuskan bagi suku dalam kajian pula berjumlah RM24.6 bilion menyumbang 45.6 peratus kepada jumlah keseluruhan pelaburan.

Jumlah pelaburan yang telah diluluskan pada Januari hingga Mac 2019 adalah sebanyak 1,678 projek dan dijangka menjana lebih 41,200 peluang pekerjaan di dalam negara.

Sektor pengilangan menjadi penyumbang terbesar potensi pekerjaan dengan peluang pekerjaan sebanyak 22,970 diikuti sektor perkhidmatan (18,000 peluang pekerjaan) dan sektor utama (240 peluang pekerjaan).

“Bersandarkan pengukuhan dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2019, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan agensi-agensi di bawahnya terutama sekali MIDA akan terus memainkan peranan penting di dalam menarik lebih banyak pelaburan berkualiti di samping memudah cara pelaksanaan projek-projek diluluskan.

“Setakat hari ini, MIDA telah mempunyai perancangan terhadap 471 projek yang bernilai RM30.4 bilion dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, MIDA turut mengumumkan sektor perkhidmatan berjaya menarik 1,445 projek yang telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM26.1 bilion.

Jelas agensi tersebut, sebahagian besar pelaburan tersebut disumbangkan oleh sumber domestik yang menyumbang sebanyak RM18 bilion atau 69 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan.

Baki sebanyak RM8.1 bilion atau 31 peratus pula disumbangkan oleh sumber asing.

Lima sub-sektor yang memacu pertumbuhan bidang perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan pelaburan tertinggi adalah hartanah iaitu sebanyak RM11 bilion atau 42.3 peratus diikuti oleh dagangan distributif (RM8.2 bilion atau 31.6 peratus), utiliti (RM4 bilion atau 15.4 peratus), hotel dan pelancongan (RM1.8 bilion atau tujuh peratus) dan perkhidmatan sokongan (RM550.9 juta atau 2.1 peratus).- MalaysiaGazette