Home Nasional Betul ke harga barang turun?

Betul ke harga barang turun?

KUALA LUMPUR – Pengguna media sosial mengecam perkongsian di Twitter yang mendakwa harga barangan keperluan tertentu lebih murah pada Hari Raya tahun ini berbanding pada tahun lalu sejak pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perkongsian daripada Fakta Bukan Auta itu berkata, harga minyak, daging, beras basmathi, rata-rata mengalami pengurangan antara RM4 sehingga RM17.

“Tahukah anda Raya 2018 vs Raya 2019. Minyak masak 5kg: Dulu RM22, sekarang RM16.

“Daging; Dulu RM34-38, sekarang RM30-34. Basmathi 5kg; Dulu RM55, sekarang RM38. Benda baik jarang viral,” kata akaun itu.

Pernyataan itu dikecam oleh netizen yang mendakwa pandangan itu tidak benar kerana harga barang tahun ini semakin meningkat.

“Harga daging macam terbalik ja. Last year RM30, tahun ni RM37,” kata Zaki Shah.

“Sape cakap harga dulu sekarang macam tu. Salah tu,” kata Twt_lalut.

“Ada bukti ke ni?,” kata @ismet_ulam.

Manakala @fadkashuwara pula berkata: “ni promotion. bukan flat price untuk tempoh masa yang lama. sekali tu je. rosyam nor buat jugak. limited to sekian sekian”.

Lebih sinis apabila @founderzulaziz mengulas, “Tahukah anda, Raya 2018 vs Raya 2019 – menteri sama, kerajaan sama”.

Seorang warganet @SyadaCheWai memberitahu: “Harga minyak memang kadang ada murah, bukan semua murah…bukan setiap masa. Ada masa mahal ada masa murah ikut musim…sama je”.

Baru-baru ini, dalam tinjauan menjelang Aidilfitri, rata-rata pengguna memberitahu MalaysiaGazette harga barang tidak naik mendadak berikutan pelaksanaan Skim Harga Kawalan Musim Perayaan.

Namun, ramai yang merungut kerana harga daging segar tempatan masih mahal hingga mencecah RM38 sekilogram.

Walaupun begitu, ada juga warganet yang mengakui harga ayam lebih murah pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Menurut mereka, harga ayam yang dijual sebelum Hari Raya sekitar RM5.50 hingga RM5.99 sekilogram.

Tetapi, disangkal oleh @beedruse yang berkata, harga ayam seminggu sebelum raya naik kepada RM7.50 berbanding RM5.50.- MalaysiaGazette