Home Ekonomi MOT nafi terima cadangan bina lapangan terbang baharu di PP

MOT nafi terima cadangan bina lapangan terbang baharu di PP

MOT
Kementerian Pengangkutan menangguhkan sementara permit VEP

KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan menafikan ada menerima kertas cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan media hari ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, ketika ini ia sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas.

“Kementerian ini tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan-cadangan ini, tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenainya dan tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan untuk membina 2 lapangan terbang baru tersebut.

“Kuasa untuk menubuhkan atau menyenggarakan sesuatu aerodrom atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen untuk menubuhkan, menyenggarakan dan mengendalikan sesuatu aerodrom adalah merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3],” katanya.

Hari ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan satu laporan eksklusif yang memetik sumber mengatakan sebuah syarikat swasta telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di Pulau Pinang.

Manakala sebuah lagi syarikat lain akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Menurut akhbar berkenaan, cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) itu bakal mengambil alih ribuan hektar kawasan penanaman padi manakala satu lagi cadangan yang digelarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA) memerlukan tanah seluas 5,000 hektar di pesisir selatan Seberang Perai.

Kedua-dua lokasi berkenaan terletak kira-kira 10 kilometer di antara satu sama lain.

Sekiranya berjaya dilaksanakan, ia bakal mengakhiri perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas yang mana terletak di dalam kawasan pulau.

Projek yang dijangka menelan kos itu terletak di sempadan Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Ketika ini kawasan tersebut merupakan sawah padi.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Pemimpin PH dulu bising, sekarang bisu