Home Nasional Suspek puja tokong akan dibebaskan dengan jaminan polis

Suspek puja tokong akan dibebaskan dengan jaminan polis

Seorang nelayan berusia 43 tahun dari Tanjung Piandang ditahan bagi membantu siasatan kes pemujaan Tokong Dato Kong.

BAGAN SERAI – Seorang nelayan lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pemujaan Tokong Dato Kong di Tanjung Piandang di sini semalam, akan dibebaskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata pasukan siasatan dari Bukit Aman akan menjalankan siasatan dan permohonan reman ke atas lelaki itu yang sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini dibatalkan.

Katanya suspek yang berumur 43 tahun dari Tanjung Piandang dijangka dibebaskan dengan jaminan polis dalam tempoh 24 jam atau sebelum 7 malam hari ini atau selepas siasatan selesai dijalankan.

“Kes ini tidak terhenti di sini kerana siasatan daripada pelbagai aspek akan diteruskan terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Omar Bakhtiar berkata pihaknya telah menahan suspek setelah dia datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada 5 petang semalam.

Nelayan itu ditahan bagi membantu siasatan kes pemujaan Tokong Dato Kong di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang yang tular di media soaial baru-baru ini.

— BERNAMA