Home Nasional Haziq profesional, tiada kelakuan pelik sepanjang 6 bulan bertugas

Haziq profesional, tiada kelakuan pelik sepanjang 6 bulan bertugas

Shamsul Iskandar Mohd Akin

PUTRAJAYA – Pengakuan Muhammad Haziq Abdul Aziz bahawa beliau merupakan individu dalam video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sangat mengelirukan.

Namun Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tiada sebarang kelakuan pelik yang ditunjukkan oleh Muhammad Haziq sepanjang enam bulan bertugas di kementeriannya.

Malah katanya, Muhammad Haziq berkelakuan normal semasa lawatan misi kemanusiaan ke Jeddah bersama beliau.

“Saya keliru, wacana sosial media macam-macam dilaporkan tetapi sebagai orang yang lantik dia tentulah saya bingung kerana tidak pernah ada watak sebegitu sepanjang bertugas di kementerian sejak Januari lalu.

“Pada hemat saya dia bertugas dengan profesional, semalam ada pertemuan dengan KSU dan beliau tidak menunjukkan rungutan. Tentulah tak tahu niat dia apa sebenarnya (muncul video),” katanya sambil menafikan Muhammad Haziq dihantar bertugas semasa Pilihan Raya kecil Sandakan baru-baru ini.

Menurut beliau, jika Muhammad Haziq ke Sandakan ia berkemungkinan atas urusan sendiri.

Ditanya sama ada Muhammad Haziq akan dibenarkan bertugas sekiranya menjawab surat tunjuk sebab, Shamsul berkata, beliau mahu pegawainya itu membalas surat tersebut.

Jelasnya, sejak Selasa lalu Muhammad Haziq gagal dihubungi.

Ditanya sama ada pegawainya itu ponteng kerja, Shamsul berkata: “Soalan yang menarik, saya boleh katakan dia sejak itu tak hadir tanpa cuti,”.

Menurut Shamsul, beliau mengenali Muhammad Haziq sebagai penggerak mahasiswa Keadilan sejak 2011 dan telah menemubualnya untuk menyandang jawatan Setiausaha Sulit Kanan.

“Pelbagai pihak hantar resume biodata. Saya yang buat saringan dan menemuduga sebelum pilih Haziq.

“Setelah saya sampai semalam di KL, pertemuan segera diadakan dengan pentadbiran KSU oleh kerana beliau memegang jawatan kontrak yang terikat dengan aku janji dan prosedur membabitkan salah laku dan tindakan menjejaskan imej dan reputasi kerajaan.

“Maka sebab itulah surat tunjuk sebab dihantar dan dirah jawab segera dan saya nak tengok dia nak hantar surat jawapan itu menjelang esok ataupun tidak

“Perlu ingat bahawa apa apa tindakan kelakuan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi kerajaan,maka kementerian berhak menamatkan segera jawatan kontraknya,” katanya.

Beliau juga dimaklumkan keluarga Muhammad Haziq tidak tahu di mana dia berada. – MalaysiaGazette