CHRISTCHURCH – Suspek utama dalam serangan di dua masjid di sini pada Mac lalu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Brenton Tarrant didakwa dengan pembunuhan 51 orang, 40 tuduhan cubaan membunuh dan satu tindakan keganasan dalam kejadian tembakan secara rambang ke atas umat Islam.
Serangan 15 Mac menyaksikan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.
Ia merupakan dakwaan keganasan pertama yang dibuat di New Zealand.
Beberapa individu yang terselamat dalam keadaan itu bersama keluarga mangsa yang meninggal dunia turut hadir dalam mahkamah.
Mereka berpelukan dan mengalirkan air mata ketika peguam, Shane Tait membacakan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh.
Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander menetapkan perbicaraan pada 4 Mei tahun depan dan Tarrant akan ditahan sehingga semakan pendengaran kes pada 16 Ogos ini.
Tertuduh yang merupakan warga Australia itu ditahan pada 15 Mac dan didakwa terlibat dalam tembakan di masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood. Kedua-duanya terletak di sini.
Dia didakwa memandu ke masjid Al Noor, memakir keretanya berhampiran dan kemudian melepaskan tembakan ke dalam masjid ketika berjalan di pintu depan.
Tarrent menembak beberapa lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam masjid kira-kira lima minit.
Serangan itu disiarkan secara langsung.
Dia kemudian memandu kira-kira 5 kilometer ke masjid Linwood dan melakukan serangan kedua.
Tertuduh menggunakan senapang separa automatik termasuk AR-15, dipercayai telah diubah suai bagi membolehkan senjata itu menyimpan peluru dengan banyak.
Dia kini ditahan secara berasingan di Penjara Auckland di Paremoremo, dianggap penjara yang dikawal ketat di New Zealand. – MalaysiaGazette