KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) tampil menjelaskan kekeliruan berhubung caj RM10 dan RM12 ke atas setiap penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) Fasa 2.
Menurutnya, RM10 merupakan baki minimum yang perlu ada di dalam akaun simpanan untuk akaun kekal aktif.
Jumlah ini adalah yang terendah di kalangan bank-bank di Malaysia manakala RM12 hanya akan dicaj sekiranya pelanggan memerlukan Kad Debit BSN yang akan memudahkan pelanggan untuk transaksi pengeluaran pada masa akan datang.
Pilihan untuk Kad Debit BSN ini terletak sepenuhnya di tangan setiap pelanggan kami.
BSN juga maklum terdapat kesesakan yang amat ketara di cawangan-cawangan ketika penerima BSH hadir untuk membuat pengeluaran berikutan musim perayaan dan cuti umum sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, bagi menangani jangkaan ini BSN telah mempermudahkan proses yang terlibat di samping membuka kaunter dan menempatkan kakitangan tambahan bagi memudahkan semua pihak yang membuat urusan sepanjang pembayaran BSH.
“Namun demikian kami memohon maaf sekiranya terdapat keadaan yang amat sesak di cawangan kami dan akan terus berusaha untuk memudahkan urusan setiap pelanggan termasuk memastikan segala urusan pelanggan diselesaikan pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Para penerima BSH boleh mengunjungi cawangan BSN berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1300-88-1900 untuk keterangan lanjut. Kami amat menghargai kesabaran anda dan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. – MalaysiaGazette