KUALA LUMPUR – Kehadiran seorang lelaki yang cukup dikenali dalam PKR bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz di balai polis semalam telah mencetuskan tanda tanya.
Di dalam beberapa gambar, lelaki itu sentiasa berada di belakang Haziq, lelaki yang mengaku menjadi individu dalam video luar tabii yang tersebar awal minggu lalu.
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrulhisham Shaharin dalam statusnya di Facebook berkata, motif video semakin jelas.
“Seorang lelaki yang memang aktif dalam PKR…..motif video mula makin jelas….jadi bila diteliti Haziq bertanding setelah dapat kebenaran khas ibu pejabat walaupun tempoh keanggotaan tidak cukup setahun, penyebaran video ini pula tersusun berdasarkan database parti.
“Siapa yang boleh akses database? Siapa pula ‘push‘ supaya Haziq dilantik ke pejabat Timbalan Menteri…..
“Teliti pula kenapa Haziq yang sudah mengaku terlibat jenayah tidak dikenakan tindakan disiplin oleh parti?,” katanya yang juga dikenali sebagai Chegu Bard.
Raja Petra Kamaruddin pula dalam ciapannya semalam mendakwa, Haziq bersama Farhash ketika ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk ke Manila.
Farhash dikatakan Pegawai Khas kepada Anwar. – MalaysiaGazette