Home Nasional Spekulasi burukkan keadaan, jangan campur tangan tugas polis- Rafizi

Spekulasi burukkan keadaan, jangan campur tangan tugas polis- Rafizi

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Wangsa Maju di Kampung Puah Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pelbagai spekulasi yang wujud mengenai video seks melibatkan individu yang dikatakan mirip menteri hanya akan memburukkan keadaan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, semua pihak tidak perlu campur tangan sebaliknya menyerahkan tugas menyiasat dan menentukan pesalah kepada pihak polis.

“Sebarang komen yang berlarutan mengenai soalan siapa dalang, siapa politik, itu akan menambahkan lagi spekulasi yang sepatutnya diserahkan pada pihak berkuasa untuk siasat.

“Ini kerana kalau pihak berkuasa siasat, saya pasti akan dapat tahu siapa yang buat, sama ada video itu tulen atau tidak.

“Saya cadang rakyat, media, semua tunggu keputusan siasatan.

“Spekulasi hanya akan memburukkan dalam keadaan tiada orang yang ada fakta yang betul. Dan fakta itu hanya akan ada di pihak polis sahaja,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Ahli Parlimen Pandan merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi turut menyifatkan dakwaan bahawa beliau dan kem Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang penyebaran video seks tersebut sebagai sebuah tuduhan jahat.

“Itu satu tuduhan jahat dan tak perlu sekarang,” ringkasnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu memastikan isu ini ditangani secara telus, tanpa ada campur tangan bagi membuktikan Pakatan Harapan mengotakan kata-kata yang diperjuangkan selama ini, seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat.

“Tapi kalau contohnya kita terus bergelumang politik, tuduh menuduh, spekulasi dan nampak siasatan tidak bebas maka rakyat akan kata Pakatan tidak ada beza dengan Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pandan itu yakin isu yang dibangkitkan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR akan diperincikan oleh parti dan penjelasan akan diberikan sewajarnya.

Menurut beliau, ia merupakan tindakan selayaknya agar parti bertindak adil kepada Azmin.

“Kalau ada persoalan politik yang parti perlu perjelaskan, parti perlu (berbuat demikian).

“Untuk berlaku adil pada dia (Azmin), saya pasti parti akan menyiasat dan menjelaskan,” ujarnya. – MalaysiaGazette