Home Nasional Jambatan angkat Kuala Terengganu ditutup semula tengah malam ini

Jambatan angkat Kuala Terengganu ditutup semula tengah malam ini

Jambatan angkat (draw bridge) yang menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu ke Seberang Takir menjadi pilihan kepada pelancong luar dan dalam negeri.

KUALA LUMPUR – Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu yang dibuka untuk percubaan pada 2 Jun lalu, akan ditutup semula tepat 12 tengah malam ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya berkata, laluan jambatan itu akan ditutup dengan kon dan semua kenderaan tidak lagi dibenarkan melaluinya.

“Apabila ditutup nanti kita akan tengok balik apa yang boleh dinaik taraf untuk keselesaan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum ditetapkan lagi.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu merupakan yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Setelah tamat pengujian sistem, jambatan angkat akan ditutup semula mulai tengah malam ini bagi tujuan pentauliahan komponen lain projek itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata nama rasmi jambatan itu baharu itu akan diumumkan ketika ia dibuka secara rasmi kelak. – MalaysiaGazette