Home Ekonomi Harga minyak melonjak

Harga minyak melonjak

TOKYO – Harga minyak naik pada hari Isnin selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo memberitahu akan mengambil semua tindakan yang perlu untuk menjamin keselamatan navigasi di Timur Tengah susulan serangan kapal tangki minggu lalu.

Niaga hadapan Brent meningkat AS$0.27 sen, 0.4 peratus kepada AS$ 62.28 pada setong pada 0040 GMT. Harga naik 1.1 peratus pada hari Jumaat.

Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) naik AS$0.18 sen, atau 0.4 peratys kepada AS$ 52.69 setong, naik 0.4 peratus pada sesi sebelumnya.

Harga-harga melonjak sebanyak 4.5 peratus pada hari Khamis selepas serangan dua kapal tangki dekat Iran dan Selat Hormuz.

Ia adalah kali kedua dalam sebulan kapal tangki diserang di zon paling penting di dunia untuk bekalan minyak kerana peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Washington menyalahkan Iran kerana serangan pada hari Khamis tetapi dinafikan Tehran.

Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat telah meningkat sejak Presiden Donald Trump menarik balik perjanjian tahun lepas antara Iran dan kuasa-kuasa global bagi membendung cita-cita nuklear Tehran.

Iran telah berulang kali memberi amaran bahawa ia akan menghalang Selat Hormuz jika ia tidak boleh menjual minyaknya kerana sekatan Amerika Syarikat.

Selain itu, kenyataan Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih yang berharap OPEC dapat melanjutkan perjanjian pengeluaran minyak mentah pada pertemuan kartel tersebut pada minggu pertama Julai nanti turut mendorong kenaikan bahan bakar.

OPEC dan sekutu-sekutunya telah mengurangkan sejumlah 1.2 juta tong minyak sejak Januari lalu hingga Jun ini bagi meningkatkan semula harga minyak. – MalaysiaGazette