KUALA LUMPUR – Serangan pimpinan dan ahli parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) terhadap Pas terutama ketika Muktamar Pas sedang berlangsung adalah untuk mengalih perhatian rakyat terhadap skandal terbesar parti itu sejak memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, isu video yang tular dan dikaitkan dengan menteri Kabinet baru-baru ini menjadi bualan utama rakyat jelata.
Katanya, isu tersebut turut menjadi perdebatan dan pecakaran sesama pimpinan utama PH sekarang yang dapat dilihat jelas di media massa utama negara.
“Soal betul atau tidak kita serahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa seperti PDRM untuk menyiasat dan selagi tidak terbukti bersalah. Kita usah pula menghukum kerana ia salah di sisi agama Islam.
“Namun isu tersebut membuktikan sebenarnya membuktikan PH sedang porak peranda.
“Ia sebenarnya adalah petunjuk jelas kepada rakyat jelata bahawa PH sebenarnya tidak mempunyai persefahaman dan kerjasama yang kukuh di antara mereka. Mereka sebenarnya membawa matlamat, agenda dan ideologi masing-masing, tidak seperti apa yang dipaparkan selama ini,” katanya menerusi kenyataan.
Muhammad Khalil mendakwa, isu tersebut memperlihatkan bahawa mereka sudah mula menyerang dan menyalahkan sesama sendiri, malah, sudah jelas mereka hanya mahu berkuasa, memenuhi agenda tanpa mempedulikan nasib rakyat seperti mana janji mereka dahulu.
“Jika mereka benar kerajaan PH mahu membela nasib rakyat seperti yang didakwa, adakah mereka menepati janji mereka semasa PRU dahulu?
“Kos sara hidup makin meningkat, harga barangan dan petrol masih tidak turun, PTPTN tetap ada, AES semakin banyak, keadaan ekonomi negara makin suram malah banyak janji mereka yang tidak tertunai,” ujarnya.
Tambah beliau, kes kematian anggota bomba, Allahyarham Mohammad Adib Mohd Kassim masih belum lagi selesai dan kini timbul pula isu video ‘hanyir’ tersebar di seluruh pelosok negara.
“Satu persatu kelemahan Kerajaan PH dan skandal terpacul untuk tatapan rakyat.
“Untuk menutup kelemahan mereka dan skandal terbesar PH yang menjadi bualan sekarang, pimpinan dan ahli PH menyerang Pas. Jika difikirkan, ia lebih hebat dari Maharaja Lawak Mega,” sindirnya.
Muhammad Khalil berkata, terlalu banyak kelemahan yang ditunjukkan oleh kerajaan PH pada masa sekarang hingga rakyat semakin hari sudah tidak percaya terhadap pentadbiran mereka.
Malah, kelemahan itu menjadi bualan rakyat terutamanya di media sosial dan jika keadaan itu berterusan adalah lebih elok dibubarkan saja kerajaan dan diadakan pilihan raya umum, katanya.
Tambah belkiau, rakyat sudah muak dan bosan dan semakin hari semakin tidak ada langsung perubahan yang dijanjikan.
“Apa yang rakyat dapat? Rakyat tersadai dengan Kerajaan PH yang sudah hampir di ambang kehancuran dan di ambang hujung nyawanya. Mahukah kita memperjudikan masa depan kita?” soalnya. – MalaysiaGazette