Home Akhbar Cina Tidak berpuak dan tidak berdendam, kata Ketua Polis Negara

Tidak berpuak dan tidak berdendam, kata Ketua Polis Negara

Datuk Seri Abdul Hamid Bador

KUALA LUNMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, beliau tidak mempunyai puak dalam pasukan polis dan tidak bercadang melakukan balas dendam.

Abdul Hamid justeru juga meminta pegawai dan anggota polis supaya berhenti berpuak-puak dan beliau juga berjanji tidak akan “membekukan” pegawai daripada puak tertentu.

“Apa yang saya ada sekarang ialah berseorangan dan masa dua tahun, tak ada benda lain.

“Saya tiada puak dan tidak pernah berfikir mahu berbalas dendam,” katanya dalam wawancara dengan Oriental Daily.

Abdul Hamid berkata, perkara paling penting yang perlu dilaksanakan ialah menambah baik imej polis dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Katanya, suruhanjaya itu bukan sahaja memantau dan mendenda anggota yang bersalah, tetapi memastikan mereka mempunyai kelengkapan yang mencukupi semasa menjalankan tugas.

“Anggota berpangkat rendah salah faham tentang suruhanjaya ini kerana ada pihak yang menyebarkan berita palsu.

“Ada juga pegawai yang membantah. Mereka bukannya berniat jahat, tetapi kekurangan pemahaman,” katanya.

Ujarnya, ada pihak yang menghasut bahawa IPCMC akan menyebabkan polis hilang kuasa dan menghancurkan masa depan polis.

“Ini tidak betul. Oleh sebab ini jugalah, saya melawat balai-balai seluruh negara untuk memahami perasaan mereka.

“Saya seterusnya memberitahu kerajaan bahawa gaji anggota berpangkat rendah harus diselaraskan dan Perdana Menteri akhirnya memberi respon yang positif,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, polis berusaha bersungguh-sungguh untuk menahan dan membawa pulang Jho Low yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB.

Beliau malahan berharap Jho Low boleh dibawa pulang ke Malaysia menjelang akhir bulan ini. – MalaysiaGazette