KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menganjurkan Program Latihan Kemahiran Temuramah Motivasi kepada pengamal perubatan yang mempunyai masalah berdepan pesakit yang mengalami ketagihan dadah.
Program tersebut yang turut dianjurkan bersama syarikat Serene Retreat Sdn Bhd dibuat sebagai memberi kesedaran kepada peserta program untuk mengawal emosi dan tingkah laku ketika berhadapan dengan pelanggan yang menghadapi masalah psikologi.
Pengurus Perhubungan Awam MMA, Serene Retreat Sdn. Bhd, Ahmady Muhammad berkata, program tersebut berlangsung hari ini hingga Rabu bertempat di Hotel Qliq di Damansara.
Menurutnya, ia merupakan program berpanjangan dan akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.
“Sasaran program ini adalah memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu pengetahuan dari segi persediaan psikologi seseorang yang berminat untuk menimba ilmu psikatrik dan ilmu kaunseling daripada pakar psikologi dari university of california, Amerika Syarikat, Profesor Igor Koutsenok,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, menerusi penganjuran program berkenaan ia diharap dapat memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta program mengenai ilmu psikologi dan kaunseling.
Tambah beliau, peserta yang mengikuti program selama tiga hari itu terdiri daripada pegawai-pegawai dalam sektor kerajaan seperti Pensyarah IPT, pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. – MalaysiaGazette