Home Seni Hidup Anjung tinjau kapal terbang terbuka pertama di KLIA

Anjung tinjau kapal terbang terbuka pertama di KLIA

SEPANG – Dek pemerhatian terbuka Malaysia pertama, untuk peminat aktiviti pemerhatian pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kini dibuka untuk orang ramai.

Dinamakan ‘Anjung Spotter’ yang boleh memuatkan 40 orang dalam satu-satu masa bagi merakamkan saat pesawat berlepas dan mendarat di KLIA itu, dibina dengan kos RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin berkata pihaknya merancang menjadikan Anjung Spotter sebagai satu destinasi wajib dikunjungi pelancong, yang tiba di KLIA.

“Pada masa ini, terdapat ramai peminat aktiviti permerhatian pesawat yang datang ke sini, untuk bertemu peminat yang sama di Malaysia, sebelum merakamkan pelbagai gambar di sekitar lapangan terbang (KLIA),” kata Raja Azmi di pelancaran Anjung Spotter di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi MAHB Tan Sri Zainun Ali.

Dek pemerhatian tersebut dibina dalam lingkungan 10 kilometer persegi KLIA itu bagi membolehkan orang ramai merakamkan gambar saat pesawat berlepas dan mendarat dari kawasan yang strategik.

Peminat aktiviti pemerhatian pesawat dan penerbangan, kini mempunyai lokasi terbaik bagi melihat pesawat yang mendarat melalui Landasan 32 Kiri, yang terletak di Jalan Pekeliling, daripada dek tersebut.

Raja Azmi berkata, MAHB berharap Anjung Spotter akan menjadi tarikan pelancong yang terkenal seperti yang ada di Perth, Australia; Frankfurt, Jerman dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham di Amerika Syarikat.Katanya MAHB juga sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi di lapangan terbang di bawah kelolaannya untuk dibina dek seperti itu bagi memberikan pengalaman yang sama untuk peminat.- BERNAMA