Home Utama Anwar tidak setuju desakan Azmin letak jawatan

Anwar tidak setuju desakan Azmin letak jawatan

Mohamed Azmin bakal menjadi saingan sengit Anwar pada masa akan datang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbeza pendapat dengan setiuasaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung isu video lucah yang dikaitkan dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Farhash Wafa berkenaan isu video serta kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab kenyataan Farhash yang mendesak agar Azmin perlu meletak jawatan jika terbukti bersalah berkaitan klip video seks sejenis yang dihadapinya.

“Azmin harus letak jawatan jika bersalah,” katanya semalam.

Farhash sebelum ini diheret sama dalam skandal seks berprofil tinggi dengan sesetengah pihak mendakwa dia adalah dalang di sebalik kempen bagi menentang Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, mana-mana pemimpim mahupun ahli parti supaya tidak terus membuat spekulasi tentang penyebaran empat video lucah melibatkan individu mirip Mohamed Azmin dan menyerah kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“Sekali lagi saya menggesa pimpinan dan ahli parti supaya menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan tugas siasatan isu ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya lagi.

Kemelut dalam PKR berhubung penyebaran video lucah itu semakin meruncing apabila Anwar menafikan dirinya terlibat dalam aktiviti penyebaran itu.

Malah Mohamed Azmin sebelum ini menggesa agar Lembaga Displin parti menyiasat dalang di sebalik penyebaran video lucah terbabit.

Mohamed Azmin berkata, jika parti mahu terus kekal relevan dan diterima rakyat, kepimpinan PKR perlu berani melakukan sesuatu berhubung perkara itu.

Mohamed Azmin hari ini berkata perkara itu dipercayai didalangi oleh ‘orang dalaman’ parti itu. – MalaysiaGazette