Home Ekonomi Harga minyak terus meningkat

Harga minyak terus meningkat

TOKYO – Harga minyak dunia melonjak dalam dagangan hari ini, meneruskan mengaut keuntungan daripada sesi sebelum ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik sebanyak AS$0.34 kepada AS$ 62.48 setong oleh 0028 GMT manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat AS$0.44 atau 0.8 peratus kepada AS$ 54.34 setong.

Harga Brent naik 2 peratus semalam, manakala WTI 3.8 peratus.

Kenaikan harga itu dipacu oleh harapan agar pertikaian perdagangan antara Beijing dan Washington serta ketegangan di Timur Tengah ekoran serangan kapal tangki pada minggu lalu berakhir.

Presiden Donald Trump dalam Twitter berkata, beliau sedang membuat persediaan untuk bertemu dengan Xi Jinping, Presiden China di Sidang Kemuncak G20 di Osaka minggu depan.

Pertemuan itu selepas perbincangan perdagangan antara kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu gagal mencapai sebarang sepakatan bulan lalu.

Washington menuduh China tidak mematuhi komitmen yang dipersetujui sebelum ini.

Ekoran itu, Trump mengancam untuk mengenakan tarif ke atas produk-produk China yang menjadi kebimbangan kedua-dua negara. – MalaysiaGazette