PUTRAJAYA – Pertimbangan elaun kritikal bagi anggota bomba dan penyelamat perlu diberi keutamaan bagi memastikan kebajikan mereka terus dijaga.
Perkara itu telah dibangkitkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Pertemuan itu bagi memberi taklimat kepada baginda mengenai sambutan Hari Bomba Sedunia minggu depan.
“Saya tekankan tentang kebajikan bomba dan pemberian kritikal elaun yang dicadangkan.. dan Al-Sultan Abdullah begitu prihatin menyambut baik cadangan itu dan mengiktiraf kerja berisiko tinggi anggota bomba itu.
“Baginda memperakui jasa dan tugas berisiko yang sentiasa digalas anggota bomba di semua lapangan, sama ada kes monyet, kemalangan ngeri, kebakaran dan bidang forensik yang kepakarannya tiada tandingan dan diiktiraf peringkat antarabangsa.
“Atas dasar ini saya menaruh harapan agar baginda dapat melihat secara mendalam kebajikan bomba serta cadangan yang diberikan dan diharap ia dapat dibawa kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam sidang media sambutan Aidilfitri kementeriannya di sini.
Katanya, cadangan itu telah dikemukakan dan sentiasa dititikberatkan kepada Perdana Menteri, cuma laporan balasnya masih belum diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam. – MalaysiaGazette