Home Nasional Papan iklan Aidil Fitri Hilman diconteng

Papan iklan Aidil Fitri Hilman diconteng

Papan iklan
Papan iklan Majlis Silaturrahim Eidul Fitri milik ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham jadi mangsa vandalisme.

KUALA LUMPUR – Dua papan iklan Majlis Silaturrahim Eidul Fitri milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menjadi mangsa vandalisme susulan penyebaran klip video seks yang dikaitkan dengan bosnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan sejak dua hari lalu apabila dua papan iklan dicemari dengan contengan cat merah dengan perkataan ‘Azin Love Hazik’ di Taman Sri Gombak dan contengan kedua ‘Azmin Love Haziq, Hilman Jealous’ di persimpangan lampu isyarat Greenwood, Gombak.

Menurut Pegawai Khas kepada ADUN Gombak Setia, Syed Azzim Sheik Ali, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung insiden itu semalam.

Katanya, walaupun di dua lokasi papan iklan itu digantung tiada kamera litar tertutup namun kelibat pelaku vandalisme itu sempat dirakam oleh awam.

Azmin Love Haziq-Hilman Jealous
Papan iklan Majlis Silaturrahim Eidul Fitri milik ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham jadi mangsa vandalisme.

“Insiden pertama dilakukan seorang lelaki pada waktu siang 17 Jun lalu sementara kejadian kedua oleh dua lelaki pada jam 2.30 pagi tadi yang menunggang sebuah motosikal ke lokasi terbabit.

“Bagaimapun, tidak dipastikan sama ada perbuatan itu dilakukan oleh orang yang sama atau sebaliknya,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Pengadu merupakan Pengurus Pusat Khidmat DUN Gombak Setia membuat laporan polis jam 7.30 malam selepas menerima mesej daripada kenalannya mengatakan bahawa papan iklan di susur masuk di Taman Sri Gombak diconteng ‘Azin Love Hazik’ dengan semburan cat merah.

“Pengadu tidak mengesyaki individu yang melakukan perbuatan khianat ini dan tiada rakaman kamera litar tertutup dipasang di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat. – MalaysiaGazette