Home Utama Cubaan terbit buku ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ berniat jahat

Cubaan terbit buku ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ berniat jahat

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (kiri) menunjukkan buku 'Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM' pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2019

PETALING JAYA – Datuk Johari Abdul membidas tindakan seorang penulis, Yahaya Ismail di dalam bukunya ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’  yang didakwa sarat dengan fitnah.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR itu berkata, buku itu dikirimkan sendiri penulis itu menerusi pos dan diterima beliau pada 10 Jun lalu.

Dakwa beliau, manuskrip yang belum dicetak penulis itu telah dibacanya dan keseluruhannya dipenuhi fitnah dan tohmahan keji terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak mengenali penulis bernama Yahaya Ismail namun demikian saya difahamkan beliau adalah seorang penulis upahan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani dalam sidang media hari ini.

Menurut Johari, fitnah fitnah itu adalah mengenai homoseksualiti pada muka surat 7,8,9,10,77,91 dan 107.

Mengenai korupsi pada muka surat 43 dan 89 dan dakwaan ejen zionis Israel dan Amerika Syarikat pada muka surat 19 dan 60.

“Saya sokong sepenuhnya tindakan mana-mana pihak yang tampil mendedahkan salah laku dan korupsi mana-mana pemimpin seperti pendedahan skandal 1MDB, Tabung Haji dan Tabung Angkatan Tentera namun pendedahan itu mestilan berlandaskan fakta dan kebenaran tetapi bukan fitnah keji yang direka-reka,” katanya.

Tambah Johari, satu laporan polis akan dibuat mengenai buku itu oleh pihaknya.

Beliau juga memaklumkan penulisnya merancang untuk mencetak buku berkenaan yang didakwanya turut memperlekehkan institusi diraja di negara ini yang telah memberi pengampunan kepada Anwar yang kini Ahli Parlimen Port Dickson.

Johari juga mendakwa penulis mempromosi seorang pemimpin lain yang difikirkannya layak diangkat sebagai Perdana Menteri dan pada masa sama memfitnah Anwar.

Pemimpin yang dimaksudkan oleh penulis berkenaan ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

MGF19062019_PC JOHARI ABDUL_05
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menunjukkan salah satu muka surat bertulis ‘Azmin Ali Bakal PM’ pada sidang media mengenai buku ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2019

Justeru beliau menyifatkan penulis itu tidak bermaruah kerana sanggup menulis buku tanpa sebarang fakta.

“Keseluruhan pemimpin dan rakyat Malaysia menolak politik jijik dan keji dan penulisan sebegini oleh penulis yang difahamkan sudah berusia 70 tahun ini dan tidak berpandukan fakta, sarat dengan fitnah yang direka-reka dan menjaja penulisan murahan sebegini.

“Bayangkanlah, apa akan jadi kepada anak-anak muda kalau penulisan murahan sebegini yang dihidangkan kepada mereka dan itu sebab saya berkeputusan mendedahkan kandungan manuskrip ini.

“Saya akan ke balai polis berhampiran sebentar lagi sebab ada elemen lain selain apa yang ditulis dalam buku ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette