KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia hari ini menafikan kenyataan naib ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunos yang menyanggah keputusan Lembaga Disiplin untuk menyerah surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung video seks luar tabii.
Setiausahanya, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, kenyataan Mohd Nazree tidak mewakili AMK Malaysia, sebaliknya ia hanyalah pandangan peribadi semata-mata kerana ia diputuskan dalam mesyuarat tidak rasmi sayap parti itu.
“AMK Malaysia menafikan kenyataan tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh AMK Malaysia dan hanya merupakan pandangan peribadi saudara Mohd Nazree.
“Mesyuarat yang diperkatakan oleh Mohd Nazree bukanlah mesyuarat rasmi AMK Malaysia, tetapi hanyalah pertemuan yang dianjurkan oleh saudara Hilman Idham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Mohd Nazree dalam satu kenyataan lewat malam tadi menyanggah keputusan Lembaga Disiplin PKR yang hanya meminta bekas Haziq, bekas Ketua Pemuda Santubong menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari.
Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar sayap parti itu yang turut dihadiri oleh Hilman selaku Setiausaha Politik kepada Timbalan Presiden PKR di Rumah Pemuda, di Seksyen 11, Shah Alam, semalam.
Pendirian mesyuarat itu didakwa menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi mangsa fitnah politik kotor dan dikaitkan dengan individu di dalam video seks luar tabii yang tersebar sejak 11 Jun lalu.
Mesyuarat tergempar itu juga sebulat suara menolak keputusan Lembaga Disiplin itu dan mendesak Haziq yang mengaku individu dalam video seks songsang itu dilucutkan keahliannya serta-merta.
Ahmad Syukri turut berkata, AMK Malaysia menghormati dan menyokong sepenuhnya keputusan Lembaga Disiplin PKR terhadap salah laku Haziq berhubung isu penularan video seks luar tabii yang dikaitkan dengan dua individu dari PKR.
“AMK Malaysia percaya ketetapan yang dibuat Biro Disiplin dan dipersetujui secara konsensus oleh Biro Politik Keadilan adalah keputusan terbaik dalam menyelesaikan kemelut yang sedang mendapat perhatian umum ini.
“AMK Malaysia juga menyeru agar semua anggota Keadilan untuk menghormati dan akur kepada keputusan parti.
“Dengan ini anggota Keadilan di semua peringkat dapat kembali fokus kepada agenda reformasi dan terus memperkasa agenda Malaysia Baru,” katanya lagi. – MalaysiaGazette