KUALA LUMPUR – Ibu penyanyi Mawi, Ramlah Sarlan, 73, meninggal dunia akibat komplikasi beberapa penyakit di rumahnya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor pukul 8 malam tadi.
Menerusi Instagram isteri Mawi, Nora’Asikin Rahmat atau Ekin, dia memaklumkan ahli keluarga mula berkampung di hospital sejak arwah dimasukkan ke wad pada 9 Jun lalu.
“Walaupun keadaan mak lemah, tapi mak cekal dan kuat. Tak pernah dengar dia merungut. Betapa hebatnya mak. Sudah tiba masanya untuk mak berehat,” tulisnya.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak pagi ini.
Mawi yang pernah mencetus fenomena selepas menjuarai Akademi Fantasia musim ketiga turut kehilangan bapa, Ani Ahmad yang meninggal dunia pada 2006 akibat masalah jantung. – MalaysiaGazette