Home Utama MH17: Lima tahun menanti, semoga keadilan ditegakkan – waris

MH17: Lima tahun menanti, semoga keadilan ditegakkan – waris

Konvoi kenderaan jenazah yang membawa mangsa nahas MH17 diiringi polis pengiring dilihat keluar dari Kompleks Bunga Raya, KLIA. Baki 9 mangsa nahas tersebut tiba di KLIA kira-kira jam 8.30 pagi tadi. 02 OGOS 2014. Foto/SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR – Penantian anggota keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 untuk mendapatkan keadilan sewajarnya terhadap mereka yang terkorban, akhirnya membuahkan hasil.

Ini susulan laporan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) semalam mendedahkan empat suspek yang didakwa perancang utama insiden itu.

Zurisdi Mohd Zol, 51, dari Kuching, Sarawak yang merupakan sepupu kepada mangsa nahas itu, Ariza Ghazalee berkata beliau dan keluarga sentiasa berharap mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Kami sekeluarga memang ternanti-nanti kata putus mengenai MH17. Hampir lima tahun kami sabar, tidak putus doa agar keadilan dapat menyebelahi keluarga mangsa. Insiden tersebut jelas ‘pembunuhan’ tahap antarabangsa dan harap suspek didakwa segera,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pesawat itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014, di ruang udara timur Ukraine. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.

Sementara itu, Normi Abdullah, 59, isteri kepada ketua pramugara, Mohd Ghafar Abu Bakar dari Ampang berkata beliau gembira suspek yang bertanggungjawab ke atas insiden itu akhirnya dikenal pasti dan akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya bersyukur suspek telah ditemui. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang diperolehi daripada insiden lima tahun lepas. Saya serahkan kepada pihak berkuasa apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Sharom Bee Md Ibrahim, 62, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang berkata walaupun JIT telah membuat pengumuman itu, ia tidak akan merubah apa-apa kerana ia tidak akan mengembalikan anaknya, Nur Shazana Mohamed Salleh.

“Saya amat sedih (dengan insiden itu), tetapi apa yang boleh saya lakukan Ia tidak akan mengembalikannya (Nur Shazana),” katanya yang ingin tahu sebab mereka yang tidak bersalah dibunuh dalam insiden itu.

JIT yang diterajui Belanda pada 24 Mei 2018 dilaporkan berkata berkata pasukan itu yakin bahawa peluru berpandu BUK TELAR digunakan untuk menembak jatuh MH17 dan mendakwa peluru berpandu itu berasal daripada briged antipesawat ke-53 iaitu sebuah unit ketenteraan Rusia yang berpangkalan di Kursk, barat Rusia.

Laporan JIT semalam turut mendedahkan empat suspek yang dikenal pasti merupakan tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov serta Leonid Kharchenko, seorang warganegara Ukraine akan dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh pada 9 Mac tahun hadapan.

— BERNAMA