PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu mengambil cuti sementara siasatan terhadap video intim yang dikaitkan dengan dirinya sedang dilakukan pihak berkuasa.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu, siasatan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak akan terjejas sekiranya Mohamed Azmin masih bertugas dalam Kabinet.
“Mengapa? Mereka (polis) boleh teruskan (siasatan). Dia (Azmin) tidak akan menjadi gangguan kepada siasatan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Menurut Dr Mahathir, kes yang sedang disiasat melibatkan ahli Parlimen Gombak itu berbeza dengan kes yang disiasat oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika menjadi kerajaan dahulu sehingga mereka perlu diberikan cuti.
“Jika siasatan terhadap salah laku atau jenayah, (maka) mereka boleh ambil cuti,” ujarnya.
Katanya lagi, berbeza dengan kes yang sedang dihadapi oleh Mohamed Azmin adalah skandal yang dirancang adalah cubaan untuk mengaibkannya serta dan mendesak beliau bercuti.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan masuk campur untuk menghalang perselisihan dalam PKR, Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti itu.
“Saya tak masuk campur,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azmin ketika ditemui media pada majlis sama mencadangkan pimpinan PKR supaya memecat Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, selepas didapati berkempen untuk BN pada pilihan raya umum ke-14.
Katanya, ia merupakan satu tindakan logik yang mempunyai asas dan Haziq wajar dikenakan hukuman sedemikian. – MalaysiaGazette