Home Nasional Isu Zakir Naik: KDN belum terima permohonan rasmi

Isu Zakir Naik: KDN belum terima permohonan rasmi

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitiri Kementerian Dalam Negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2019.

SERDANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Kerajaan India berhubung keputusan Mahkamah India hari ini yang mengarahkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik hadir ke mahkamah pada 31 Julai ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang tindakan termasuk melakukan ekstradisi ke atas Zakir sebelum mendapat permohonan rasmi daripada Kerajaan India.

“Setakat hari ini, baik Kementerian Luar atau kami (KDN) belum lagi menerima secara rasmi permohonan itu untuk tujuan mungkin ekstradisi Zakir Naik, kita belum terima lagi.

“Jadi selagi belum terima, kita tidak akan ambil apa-apa tindakan dan kita tidak akan buat apa-apa keputusan.

“Kalau (terima), kita nak tunggu dulu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Mahkamah di India hari ini mengarahkan pendakwah agama itu hadir di mahkamah pada 31 Julai depan atau berdepan risiko dikenakan waran tangkap.

Mahkamah Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) dalam satu kenyataan berkata, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap pendakwah itu jika gagal hadir di mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah PMLA mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap Dr Zakir Naik membabitkan agensi pemeriksaan kewangan kerajaan India (ED).

ED sebelum ini mendakwa Zakir terlibat dalam pengubahan wang haram di India bernilai INR193 crore (RM115 juta).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas New Delhi dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di negara itu. – MalaysiaGazette