Home Nasional Suspek curi kereta dicari

Suspek curi kereta dicari

Polis sedang mencari suspek yang cuba mencuri kereta di pusat servis Volkswagen di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai seorang suspek kes curi kenderaan di pusat servis Volkswagen Glenmarie Seksyen U1, Shah Alam, Selangor.

Suspek Darma Suria Risman Saleh berusia 37 tahun yang beralamat di Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang telah melarikan diri selepas kereta dan seorang lagi rakannya, Mohd. Johan Mohd. Zakuan berjaya ditahan oleh pekerja-pekerja pusat servis berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Menurut polis, dalam kejadian kira-kira 7 pagi Rabu lalu, suspek bersama seorang lagi rakannya telah datang ke pusat servis berkenaan dengan menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Passat dengan no pendaftaran WXM 9113.

Pekerja-pekerja di pusat servis kenderaan tersebut tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku kerana beranggapan mereka adalah pelanggan biasa.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka telah masuk ke dalam pejabat dan mencuri kereta Volkswagen Jetta milik seorang pelanggan dan cuba melarikan kereta berkenaan.

Salah seorang pekerja dilanggar dan digilis ketika cuba menahan kereta berkenaan sebelum pekerja-pekerja lain berjaya menangkap Johan dan menghubungi pihak polis.

Johan yang mempunyai dua rekod dadah dan dua rekod kesalahan mencuri disahkan positif methapetamine.

Mangsa, Kannan a/l Velloo terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Shah Alam dan kini berada dalam keadaan separuh sedar tetapi stabil.

Dengan itu, pihak polis mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Insp Nurul Al Shakinaqaiyum Alladin di talian +60102480065.- MalaysiaGazette