KUALA LUMPUR – Pengguna rangkaian lebuh raya PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang membayar tol secara elektronik untuk perjalanan melebihi 100 kilometer berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus sempena cuti perayaan Hari Krismas akan datang.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, pengguna Kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) yang bergerak untuk perjalanan jauh (melebihi 100 kilometer) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go dan SmartTAG berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus pada 25 Disember (Ahad) bersempena dengan Hari Krismas.”
Untuk perjalanan pada 25 Disember ini, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 20 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) di antara 15 Januari 2017 sehingga 14 April 2017 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.
Pemberian rebat tol oleh PLUS ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Hari Krismas yang akan datang.
Selain itu, ia adalah di antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan lebih pantas.
“Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Noorizah.
Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.
PLUS turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 14 peratus kepada 1.6 juta kenderaan setiap hari di antara 23 Disember 2016 hingga 3 Januari 2017 bersempena perayaan Hari Krismas dan cuti Tahun Baharu berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa. – MalaysiaGazette