KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mencadangkan satu usul bagi meminda beberapa fasal perlembagaan parti itu.
Pindaan yang bertujuan memperkemaskan lagi UMNO sesuai dengan tuntutan semasa itu akan dilakukan melalui Perhimpunan Agong Khas yang akan diadakan pada November ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses itu masih di peringkat awal, iaitu mengutip pandangan dan syor akar umbi dan sayap sayap parti oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh salah seorang Naib Presiden parti.
“Syor-syor ini akan terlebih dahulu dibincang dan diteliti oleh MKT, dijangka penghujung bulan ini.
“Ketika ini, MKT belum memutuskan apa apa perkara spesifik berhubung pindaan ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada 22 April lalu, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) berkata, pindaan perlembagaan itu adalah untuk menyesuaikan perlembagaan parti sedia ada yang terlampau keras.
Ujar beliau, antara pindaan itu melibatkan peluang kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO dan memudahkan mereka menyertai masuk sebagai ahli.
Selain itu, pindaan itu juga turut mengambil kira memberi kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah mengikut situasi politik negeri itu.
Bagaimanapun baru-baru ini, isu pindaan perlembagaan UMNO timbul apabila ia dikaitkan untuk menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Annuar, akar umbi akan diberi taklimat mengenai sebarang cadangan MKT sebelum ia dibentangkan di Perhimpunan Agung Khas nanti.
Berikutan itu, tambah beliau, mana-mana kenyataan yang merujuk kepada sebarang pandangan yang spesifik adalah bersifat spekulatif dan pra-matang dan tidak menggambarkan perkara sebenar. – MalaysiaGazette